DEFINISI KREATIVITI
Takrifan ‘kreatif’ sering kali menjadi perbincangan dalam kalangan pemikir sehinggakan terdapat perbezaan tanggapan. Namun begitu, hal ini sudah menjadi kebiasaan sejak lama dahulu dan menjadi perkara biasa dalam dunia akademik bagi mengemukakan konsep yang asli berdasarkan pemerhatian, kajian dan latar disiplin ilmu yang mereka miliki. Pemikiran kreatif mengikut kamus Webster’s menjelaskan tentang kebolehan untuk membawa sesuatu yang baru wujud. Kaitan daripada definisi ini memperlihatkan kreativiti itu adalah kebolehan mewujudkan sesuatu yang baru sama sekali. Jika difikirkan lebih terperinci, dapatkah manusia yang lemah mewujudkan sesuatu yang baru sama sekali iaitu daripada ‘tiada’ kepada ‘ada’.
Definisi ini seolah-olah melambangkan suatu tingkah laku dan pemikiran manusia yang hebat, dapat melakukan apa saja yang diinginkan. Malah, dalam keadaan kritikal sekalipun, manusia masih dapat membuktikan kemampuannya menyelesaikan sesuatu masalah. Maka, dapatlah disimpulkan bahawa definisi ini terlalu ekstrem bagi menggambarkan kemampuan dan kebolehan manusia berkreativiti. Tetapi, ramai sarjana berpendapat bahawa manusia tidak mungkin dapat menghasilkan sesuatu yang tidak pernah wujud sebelumnya kerana jika dilihat kepada definisi kreatif tersebut memperlihatkan seolah-olah menyanggah dan mencabar kekuasaan dan hak Tuhan. Mana mungkin manusia yang sememangnya bersifat lemah dan serba kekurangan dapat menghasilkan sesuatu yang baru dan asli. Menurut pernyataan John (2002) iaitu hanya Tuhan sahaja yang Maha Mencipta, dan segala apa-apa yang dicipta-Nya adalah asli. Manusia hanya boleh mengubah semula apa yang Tuhan cipta sahaja.
Namun, apa yang pasti menurut de Bono (1970), kreativiti itu memang berlaku tanpa disedari oleh manusia itu sendiri. Lantaran itu, sehingga kini terdapat ribuan maksud berkenaan pemikiran kreatif dan kesemuanya dapat disimpulkan sebagai berikut (Hassan, 1989) dan (Nik Azis, 1994); “Terminologi kreatif berasal daripada perkataan Latin ‘creare’ yang bermaksud ‘membuat’ (to make). Manakala dalam bahasa Greek pula, ‘Krainein’ yang membawa makna ‘memenuhi’. Dalam bahasa Inggeris ‘create’ atau ‘cipta’ dalam bahasa Melayu.”
Walau bagaimanapun, konsep kreatif dan kreativiti ini amat luas untuk dibincangkan kalau diikutkan ruang, tempat dan masa. Konsep kreativiti ini juga boleh dilihat dalam pelbagai sudut berdasarkan latar belakang seseorang seperti ahli agama, peguam, jurutera, ahli akademik, ahli politik dan sebagainya. Ringkasnya, istilah kreatif dan kreativiti digunakan bagi menggambarkan produk yang dihasilkan. Berdasarkan konsep kreativiti secara umum, dapat disimpulkan konsep pemikiran kreatif berkisar kepada berikut iaitu melakukan sesuatu dengan cara yang unik, seseorang itu dapat keluar daripada kepompong yang sama, berfikir di luar kotak, melihat sesuatu dari perspektif baru, menggabung idea yang sedia ada menjadi baru, membuka minda dengan idea-idea baru, mencabar andaian, mencipta sesuatu yang baru, menghubungkan idea yang tidak berkaitan, menerbitkan idea besar kepada idea-idea kecil, berfikir secara fleksibel, penghasilan idea, penyelesaian, konsep dan produk yang asli, serta membuat sintesis, imaginasi dan visualisasi.
Pemikiran kreatif mestilah berasaskan manipulasi segala pengalaman dan pengetahuan yang sedia ada. Menerusi pengalaman dan pengetahuan yang dimilikinya, seseorang itu akan berusaha mencari pelbagai input idea dalam pelbagai perspektif dan dimensi bagi mewujudkan idea atau hasil yang baru yang lebih baik daripada sebelumnya dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.


0 comments:
Post a Comment