MASALAH KEWANGAN DALAM KALANGAN PELAJAR IPT
Pada abad ke-21 ini, wang atau duit merupakan perkara yang amat penting bagi setiap manusia. Manusia memerlukan wang bagi mendapatkan apa yang mereka hajati dan ingini. Tanpa wang manusia sukar meneruskan kehidupan. Hal ini adalah kerana, segala-galanya memerlukan wang. Berbeza dengan abad sebelum ini, kewangan tidak begitu penting kepada manusia. Mereka menggunakan wang hanya untuk urusan-urusan seperti membeli barang-barang bukan menjadi keperluan mereka. Manusia pada zaman sekarang tidak mengira baik yang muda mahupun yang tua tetap memerlukan wang untuk meneruskan hidup. Begitu juga dengan para pelajar institut pengajian tinggi awam ataupun swasta (IPTA/S), mereka juga mempunyai masalah kewangan untuk menampung perbelanjaan mereka serta meneruskan pengajian mereka terutama sekali pelajar yang berlatarbelakangkan daripada keluarga miskin atau kurang berkemampuan. Sebenarnya terdapat banyak faktor yang timbulnya masalah kewangan dalam kalangan pelajar IPTA/S ini. Oleh itu, penyelesaian harus difikirkan dalam membendung masalah kewangan dalam kalangan pelajar ini.
Antara faktor yang paling utama berlakunya masalah kewangan dalam kalangan pelajar IPT adalah disebabkan oleh sikap individu atau pelajar tersebut yang suka berbelanja boros. Mereka menggunakan wang bukan hanya untuk perkara yang diperlukan sahaja tetapi perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah kepada diri mereka. Sebagai contoh, berbelanja pakaian yang mahal-mahal, permainan ‘video game’, motosikal dan sebagainya bagi pelajar lelaki, dan bagi pelajar perempuan pula membeli alat-alat solek dan pakaian yang mahal-mahal, serta aksesori yang diluar batas kemampuan mereka. Hal ini demikian kerana, mereka kurang memahami dan mempelajari akan pengetahuan berbelanja secara bijak dan cermat. Hal ini menimbulkan masalah yang serius kepada para pelajar IPT kerana mereka mempunyai wang yang kurang untuk menghabiskan pembelajaran bagi setiap semester yang mereka lalui. Oleh hal yang demikian, para pelajar IPT haruslah mempelajari dan memahami berbelanja secara bijak serta mengubah sikap agar tidak susah dikemudian hari.
Faktor yang kedua pula adalah pengaruh rakan samada rakan sekelas mahupun rakan di kolej. Di dalam kampus universiti terdapat pelbagai jenis pelajar yang berlatarbelakangkan keluarga yang berada ataupun keluarga yang kurang berkemampuan yakni miskin. Mereka akan bercampur gaul dan berkawan antara satu sama lain. Dalam keghairahan berkawan, terdapat juga rakan yang mengambil kesempatan terhadap rakannya yang lemah (miskin). Contohnya, pelajar yang miskin dipengaruhi dengan pelajar yang kaya. Mereka membeli barangan yang mahal-mahal yang setaraf dengan pelajar kaya dengan tujuan untuk menutup perspektif rakan-rakannya yang lain terhadap kemiskinannya. Mungkin juga mereka sering diejek oleh rakan-rakannya yang lain kerana kedaifan samada dari segi pakaian, peralatan lain, telefon canggih atau sebagainya. Hal ini demikian akan menimbulkan rasa ingin mengubah diri supaya menjadi sebagaimana rakan-rakannya yang kaya itu. Akibatnya, wang pinjaman PTPTN atau wang biasiswa yang diterimanya setiap bulan atau setiap semester akan berkurangan. Hal ini demikian akan menimbulkan masalah kewangan terhadap pelajar miskin tersebut. Oleh itu, para pelajar haruslah bijak dalam memilih rakan kerana adakalanya rakan menjadikan kita baik dan adakalanya rakan membentuk kita kearah keburukan.
Faktor yang seterusnya yang menyebabkan masalah kewangan dalam kalangan pelajar IPT adalah berkaitan dengan peralatan-peralatan untuk pembelajaran yang agak mahal. Peralatan tersebut termasuklah buku rujukan mahal yang harus dibeli, alat-alat tulis, bahan-bahan untuk membuat ‘assignment’ dan lain-lain lagi. Pelajar-pelajar yang mengambil kursus yang berkaitan dengan subjek seni adalah lebih terkesan penggunaan wang tersebut kerana hampir 70% wang pinjaman PTPTN setelah ditolak dengan yuran pengajian setiap semester digunakan untuk membeli peralatan seni. Contohnya, membeli kanvas, alatan lukisan, warna, berus, cat, dan sebagainya. Peralatannya bukannya berharga murah malah kadang-kadang mencecah hampir ratusan ringgit setiap kali menyiapkan sesuatu projek seni yang dijalankan. Wang yang selebihnya hanyalah digunakan untuk rutin harian sahaja. Oleh hal yang demikian, para pelajar terpaksa berjimat-cermat dan kadang-kala terpaksa mengikat perut untuk berjimat.


0 comments:
Post a Comment